Pages

Showing posts with label Kisah. Show all posts
Showing posts with label Kisah. Show all posts

Monday, January 17, 2011

Erti Doa Seorang Sahabat

Terdapat seorang pemuda bersama sahabatnya yang menaiki sebuah kapal yang sama… menuju ke suatu tempat. Dengan taqdir Allah, kapal yang dinaiki telah terbocor, lalu mula karam sedikit demi sedikit… Alhamdulillah, lalu kedua-dua mereka berenang dan terus berenang untuk menyelamatkan diri, hinggalah tiba di sebuah pulau yang sunyi lagi kosong…Ternyata, pulau tersebut tiada berpenghuni, malah kering kontang tiada sebarang pohon dan wadi… Mereka terus saja bersama, berdoa dan berdoa kepada Allah mudah-mudahan diberi jalan keluar, atau paling tidak diberi makan dan minum untuk meneruskan hidup…Namun, setelah sekian lama, sepertinya doa mereka masih belum dimakbulkan Tuhan… Sehinggalah suatu hari pemuda tersebut berasa hampir putus asa…Lalu mencadangkan kepada sahabatnya agar mereka memisahkan tanah pulau tersebut kepada dua daerah, dan mereka tinggal di daerah masing-masing… Pada fikirannya, mungkin salah seorang daripada mereka orang yang jauh dengan Tuhan, lalu kerana itulah doa mereka belum dimakbulkanNya…Sahabatnya hanya mengangguk bersetuju tanpa membantah… Bermulalah kehidupan mereka secara berasingan…Si pemuda mula berdoa kembali kepada Tuhan… memohon agar diberikan minuman kepadanya… Di taqdirkan Allah, kawasan tanahnya mula mengeluarkan beberapa pancutan air mata air dari tanah… Alangkah gembiranya pemuda itu, lalu dia menjenguk ke daerah sahabatnya, dan dilihat tanah di situ masih kering kontang tanpa setitis airpun…. Pemuda itu terus lagi berdoa kepada Allah, kali ini dia memohon semoga Allah memberikannya makanan pula…Dengan izin Allah, beberapa pohon buah-buahan mula tumbuh dan hidup subur di tanah daerahnya… Sekali lagi dia menjeguk ke daerah sahabatnya, dan dilihatnya tiada sebatang pohon pun yang berdiri di situ..Masih sama kering kontang dan lapang seperti hari pertama mereka tiba di situ… Sekarang, dia mula yakin bahawa doa-doanya kini memang dimakbulkan Allah….dan sebaliknya doa-doa sahabatnya itulah yang tidak dimakbulkan Allah…Dan tahulah dia mengapa semasa mereka tinggal bersama, doa-doa mereka tidak dimakbulkan Allah… “Pasti kerana dia itu seorang yang jauh dengan Tuhan…kerana itulah doanya tidak dimakbulkan…” Lalu, pemuda itu dengan keyakinan bahawa doanya sentiasa termakbul, terus berdoa meminta, meminta dan meminta pelbagai lagi…Hinggalah kemuncaknya, pemuda itu memohon kepada Allah agar dapat keluar dari pulau itu dan kembali ke perkampungannya… Dengan taqdir Allah, tiba-tiba dilihatnya ada sebuah perahu hanyut tanpa tuan menghampiri pulau tersebut…Dengan perasaan gembira yang amat sangat, dia pun menaiki perahu tersebut lalu meninggalkan pulau itu… Setibanya di kampung halaman, dia bertembung dengan seorang tua yang sangat terkenal alim dan warak di kampungnya itu…Orang tua itu memandangnya dengan penuh kehairanan… Lalu orang tua itu menegur, “Mana sahabatmu yang seorang lagi???” Pemuda itu jadi kaget, tapi berusaha untuk berlagak biasa, lalu bertanya kembali kepada orang tua itu… “Sahabat yang mana satu?” “Sahabatmu yang di pulau itu..” Terkejutlah pemuda itu pabila mendengarkan jawapan orang tua tersebut….Lalu pemuda itu menceritakan kepada orang tua itu kisah dari mula dia sampai hinggalah hari dia mendapatkan perahu yang membawanya pulang ke kampung…. “Lalu, apakah saya harus menolong membawa pulang sahabat saya itu, sedangkan Allah sendiri tidak memakbulkan doanya?!” kata pemuda itu lagi. Lantas orang tua tersebut pun menjawab… “Tahukah engkau, sesungguhnya sahabatmu itu hanya ada satu doa sepanjang dia di pulau itu, dan satu-satunya doa beliau telah pun di makbulkan kesemuanya oleh Allah…” “Apa doanya?” pemuda bertanya sedikit teruja.. “Sesungguhnya, sepanjang waktu, dia hanya meminta agar Allah memakbulkan semua doa-doamu yang sedang di dalam kesusahan dan kegelisahan…Dan sesungguhnya satu-satunya doa beliau itu telahpun diperkenankan oleh Allah…” Maka terduduklah pemuda itu, merasa terharu dan keinsafan…. Subhanallah… masyaAllah… Allahu Akbar…. Bertuahnya pemuda itu mempunyai seorang sahabat yang semulia itu…alangkah bertuahnya … alangkah bertuahnya.. alangkah bertuahnya dia… Maka, Saya akhiri kisah hidup pemuda itu dengan satu pertanyaan…. “Apakah tuan yang mulia sudi menjadi sahabat saya…dan sudi memberikan saya peluang menumpang barakah tuan…?”

sumber dipetik daripada: blog seorang sahabat, mujahidah "Kifah"

Kasih seorang adik

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.


"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai. "Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,


"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.


Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!". Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.


Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" "Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. "Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"


Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!" Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis."Kenapa kamu ni?Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. "Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti." Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Diatas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat..... "Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak." Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.


Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa : "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.


Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. "Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik." "Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan."Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. "Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."Apalagi...aku menangis seperti selalu.


Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik. "Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada.


Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...." katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati. "Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila." Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.


Sumber: http://www.facebook.com/home.php?sk=group_184409664916980&view=doc&id=184948444863102