Pages

Saturday, August 6, 2011

Sahur dan Berbuka

Kelebihan Bersahur

Nabi saw. bersabda, "Perbezaan antara puasa oang Islam dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." (HR al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (HR Ibnu Hibban & Baihaqi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." (HR Ahmad)

Berbuka Puasa Dengan Rutab

"Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan minum beberapa teguk air." (HR Tirmidzi)

Rutab adalah buah kurma yang masak dan belum dikeringkan. Tamar adalah buah kurma yang telah dikeringkan.

Sumber: http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/

Kelebihan Puasa Dalam Kesihatan

Hikmah Puasa Dan Qiyam Ramadhan Menurut Perspektif Islam Dan Sains

Oleh:
Dr. Abu Bakar bin Abdul Majid
Mantan Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Kesihatan Awam,
Kementerian Kesihatan Malaysia

Ramadhan merupakan suatu hadiah, anugerah kepada dunia kesihatan kerana ia mampu meningkatkan taraf kesihatan masyarakat. Melalui kajian sains didapati berpuasa, akan menurunkan kadar glukos darah, tekanan darah, khasnya tekanan darah sistolik dan juga lipid darah. Puasa juga turut menurunkan berat badan. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan. Sebaliknya, dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindroma metabolik. Sindroma ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindroma metabolik yang melanda dunia masa kini.

Hikmah puasa pada kesihatan sangat banyak. Di samping manfaat fisiologi badan, ibadah puasa turut menambahkan kesihatan jiwa setelah dikaji dari sudut psikologi. Bacaan al-Quran pula meningkatkan daya ingatan di samping ketenangan jiwa. Solat tarawih pula melalui suatu kajian mendapati akan membakar rata-rata 10 kalori tenaga setiap raka`at, di samping meningkatkan kesihatan tulang, otot, sendi dan lain-lain.

Satu sumbangan besar ibadah puasa Ramadhan kepada manusia adalah dalam membantu mengatasi masalah merokok. Ramai perokok sering kali memikirkan untuk berhenti dari merokok dan sebahagian besar telah pun mencubanya beberapa kali. Kebanyakan mereka sedar yang merokok itu merosakkan kesihatan mereka dan juga menjejaskan kesihatan orang-orang di sekeliling mereka. Melalui kajian-kajian, didapati 70 peratus dari perokok-perokok ternyata telah pun mencuba berhenti merokok dan 40 peratus dari perokok-perokok mencuba berhenti setiap tahun. Kita telah kenal pasti sebab-sebab yang menyukarkan seseorang untuk berjaya berhenti merokok dan di antara punca utama ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, suatu bahan yang terdapat dalam kandungan asap rokok. Perokok mengalami kesukaran berhenti merokok kerana tubuhnya yang telah terbiasa dengan dadah nikotin yang mana ketiadaannya dalam masa dua hingga empat jam akan mula mengalami gejala gian. Walaubagaimanapun, pada bulan Ramadhan al-Mubarak seorang perokok yang kuat sekalipun boleh berhenti merokok mulai dari sahur hinggalah masa berbuka yang melebihi 12 jam. Ini adalah satu perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa setelah dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin. Perkara ini tidak berlaku semasa bulan Ramadhan kerana perokok-perokok boleh berhenti melebihi 12 jam tanpa merokok.

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang memudahkan seseorang untuk berhenti merokok pada bulan Ramadhan. Antara lain adalah suasana harian masyarakat Islam yang berubah pada bulan Ramadhan. Suasana di tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang dan malam berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Kita dapati peluang dan keadaan yang baik untuk berhenti merokok wujud kerana tiada suasana yang mana perokok itu selalu merokok seperti selepas makan pagi, tengah hari bersama-sama dengan kawan sekerja seperti pada hari-hari lain. Adalah diharapkan agar kita dapat membantu lebih satu juta rakyat Malaysia beragama Islam yang merokok untuk berhenti merokok sempena bulan puasa Ramadhan al Mubarak tahun ini.
Diet Ketika Berpuasa

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

`SYURGA makanan’. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?”. Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan.

“Puasa dapat membantu individu untuk mengawal pemakanannya. Ia dapat membantu dalam pengawalan berat badan di samping melatih individu untuk lebih berdisiplin pada makanan. Pemilihan makanan semasa bersahur dan berbuka penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan atau penurunan berat badan. Pengambilan makanan yang manis, berlemak atau bergoreng boleh menyebabkan peningkatan berat badan,” ujar Pakar Diet Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘ Lah.

Untuk bersahur, disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .

Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.

“Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin,” tambahnya.

Menurut Nor Lizawati, pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.

Misalnya untuk berbuka, orang ramai dinasihatkan untuk mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

“Puasa boleh melatih individu lebih berdisiplin pada makanan. Untuk mereka yang cuba mengurangkan berat badan, jangan abaikan keperluan nutrien oleh badan kerana ini boleh menyumbang kepada risiko untuk mendapat masalah kesihatan dan badan akan cepat lesu. Ini akan memberikan kesan kepada aktiviti seharian. Jangan terlalu obses untuk menurunkan berat badan tetapi kesihatan diabaikan. Amalkan diet yang seimbang,” nasihatnya.

Kepentingan,Doa dan Niat puasa di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t... Selamat menjalani ibadah puasa buat muslimin dan muslimat. Sedikit perkongsian dan amalan berkaitan puasa di bulan ramadhan.


Kepentingan Berpuasa

Firman Allah S.W.T: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." - (Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan....".

Lafaz Niat

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala."

Lafaz lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

*Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.


Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

*Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

*Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.


Waktu berniat:
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Doa Buka Puasa
"Ya Allah keranaMu aku berpuasa, dengan Mu aku beriman, dan dengan rezekiMu aku berbuka (puasa), dengan rahmat MU, wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang“
*Dari Mu'adz bin Zuhrah, bahwasannya telah sampai kepadanya, sesungguhnya Nabi s.a.w apabila berbuka puasa baginda mengucapkan, "Allaahumma Laka Shumtu wa'alaa Rizqika Afthartu".
(Hadis riwayat Abu Daud #2358, Al-Albani mengatakan hadis ini Dhaif di dalam Daif Abi Daud)

Ibn Umar berkata, Nabi s.a.w ketika telah berbuka puasa mengucapkan,:
"Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat dan telah tetap pahala, dengan kehendak ALLAH."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud #2357. Al-Daaraquthni #25, Ibn Hajar dalam Al-Talhis Al-Habiir (2/202): Al-Daaraquthni mengatakan bahawa hadis ini Isnadnya Sahih.)

**Disebabkan do'a didalam hadis pertama ini datang dari hadis dhaif (lemah), maka lebih afdal kita mengambil do'a alternatif yang lebih baik isnadnya yang dapat kita manfaatkan didalam amalan sunat membaca do'a ketika berbuka puasa.

Doa Selepas Berbuka Puasa
"Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu."


“Di dalam syurga ada pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa masuk melaluinya pada hari kiamat. Tidak ada orang yang masuk selain daripada mereka yang berpuasa. Apabila masuk orang yang berpuasa, pintu ini ditutup. Tidak dapat masuk orang lain melalui pintu ini.” (HR Bukhari dan Muslim)