Pages

Saturday, April 23, 2011

Bagaimana Dikatakan Ukhwah Fillah?

Bila kita fikirkan apakah kita sekarang berukhwah kerana Allah? Seindah apa ukhwah yang kita miliki atau yang pernah kita alami? Bagaimana kita menjaga ukhwah itu? Banyak persoalan yang perlu kita muhasabah semula. Begitu juga dengan diri saya sendiri terasa banyak lagi kekurangan dan kelemahan saya dalam saya bersahabat. Kita susah untuk memahami sahabat tapi yang penting kita cuba untuk memahami sahabat, mungkin suatu hari nanti dia akan memahami kita. Kita semua tidak sempurna tapi kita cuba jadi sahabat yang baik, yang mana dapat membimbing sahabat-sahabat kepada kebaikan bukannya keburukan. Dalam kita bersahabat banyak perkara yang Allah s.w.t uji kita, bila kita tabah dalam menghadapi ujian itu bermakna kita berjaya bersahabat kerana Allah s.w.t. Bila kita lihat makna ukhwah itu sendiri yang bermaksud menyatukan hati dan roh yang terikat dengan dengan ikatan akidah yang satu.


Tingkat ukhwah yang paling rendah adalah berlapang dada dengan sahabat-sahabat dan tingkat ukhwah yang paling tinggi adalah ithar. Kenapa kita dengan orang barat berbeza dalam bersahabat? Orang barat bersahabat untuk keperluan dunia sahaja tapi orang islam bersahabat mengharapkan pertemuan hingga ke syurga. Atas dasar kerana Allah s.w.t , ikatan yang paling kuat antara hati dan akal. Ukhwah tidak akan putus walaupun besar mana dugaan yang kita hadapi. Berusaha untuk menyayangi sahabat kita dan korbankanlah sedikit perkara dalam hidup kita, semuanya ada hikmah disebaliknya. Jadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh untuk membina ukhwah yang kuat. Rasulullah s.a.w sendiri dapat membina generasi sahabat yang kuat.


10 kepentingan dalam menghubungkan ukhwah:

  1. Untuk mendapat keredhaan Allah kerana Dia suka pada orang yang menghubungkan ukhwah begitu juga penghuni langit dan bumi.
  2. Kita juga mengembirakan para Malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhwah.
  3. Pahala yang berterusan.
  4. Rezeki yang diberkati Allah
  5. Allah s.w.t melanjutkan usianya.
  6. Dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan seharian.
  7. Iblis dan syaitan bertambah gelisah.
  8. Akan disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada disekelilingnya.
  9. Mengembirakan jenazah yang berada di alam barzah.
  10. Dapat mencetuskan kegembiraan pada kedua belah pihak,tiada amalan yang lebih baik melainkan dapat mengembirakan hati orang-orang beriman.


Syarat-syarat berukhwah:

  • Ikhlas
  • Bersama ukhwah adanya iman dan taqwa
  • Melazimi ajaran Islam (amar makruf nahi mungkar)
  • Nasihat-menasihati ke jalan Allah s.w.t.
  • Tolong-menolong kerana Allah s.w.t.
  • Status dua orang yang berukhwah:
  • Darjat yang tinggi di syurga Allah s.w.t.
  • Mendapat kemuliaan pada hari kebangkitan.
  • Menyayangi seseorang kerana Allah s.w.t bukan sebab lain hanya hadir pada hati yang bersih.Dunia dan segala hiasannya dipandang kecil berbanding keredhaan Allah s.w.t.
  • Kasih sayang yang hebat dan suci sehinggakan Allah s.w.t akan memuliakan hambaNya yang mampu berbuat demikian.
  • Rasulullah s.a.w juga menyarankan agar kita menzahirkan kasih sayang kita kerana ukhwah sangat penting dalam membentuk masyarakat.


Ciri-ciri mereka yang berukhwah kerana Allah s.w.t:

  • Tidak membiarkan atau meninggalkan sahabatnya yang dalam kesusahan.
  • Bersifat toleransi dan memaafkan.
  • Berjumpa dengan wajah yang tersenyum.
  • Bersahabat ikhlas kerana Allah s.w.t.
  • Setia dan berbuat baik pada sahabat.
  • Tidak mengumpat dan tidak menceritakan keburukan sahabat.
  • Mengelakkan perselisihan pendapat,gurauan yang berlebihan dan tidak tepati janji.
  • Bersifat pemurah dan muliakan sahabat.
  • Mendoakan sahabat.


Bagaimana cara untuk kita mencapai roh ukhwah?

1) Memberitahu kepada saudara yang dicintainya- Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu kepadanya”. (H R Abu Daud dan Tirmizi)

2) Berdoa untuk mereka- Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan bagimu juga seperti itu”.

3) Berjabat tangan bila bertemu- Rasulullah s.a.w menyarankan pada umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra: “Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah”.

4) Memberi senyuman ketika bertemu- Hadis riwayat dari Abu Dzhar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah engkau remehkan kebaikan apa sahaja yang datang dari saudaramu dan jika engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan”. (H R Muslim)

5) Mengunjungi saudara- Dalam kitabnya Al-muwathtaa Imam Malik meriwayatkan bersabda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman: “Pasti akan dapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku”.

6) Menyampaikan ucapan selamat- Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah s.w.t mengembirakannya pada hari kiamat”. (H R Tabrani)

7) Memberi hadiah- Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati”.

8) Memperhatikan keperluan sahabat- Riwayat oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Siapa yang meringankan beban penderitaaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam kesusahan pasti Allah s.w.t akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutupi aib seorang muslim pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah s.w.t akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya (H R Muslim)

9) Tegakkan hak-hak persaudaraan: Wajib bagi kita menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarahi saudara yang sakit, mendoakannya ketika bersin dan menolong bagi yang dizalimi.


Perkara tersebut adalah penting untuk menunjukkan rasa cinta kasih kita pada sahabat kita sekaligus untuk mempereratkan ukhwah bila kita laksanakannya betul-betul kerana Allah s.w.t.


Marilah kita renungi sejenak firmanNya:

“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman).Walaupun kau membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi,nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (al-anfal:63)


Kita dapat merasai kekuatan ukhwah itu kerana ikatan akidah Islam itu adalah sekuat-kuat ikatan. Dari sinilah terbitnya ukhwah fillah (persaudaraan kerana Allah) . Keindahan dalam kita berukhwah akan terserlah apabila iman yang kuat tersemat didlm hati.


Menyingkap kembali ukhwah yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w di dalam jiwa para sahabat, maka di sana terpancarlah betapa mulianya hati-hati yang mampu menghayati erti ukhwah kerana Allah. Bukan harta sahaja yang mereka serahkan bahkan nyawa pun sanggup dijadikan cagaran. Tapi hakikatnya kita pada hari ini adalah jauh berbeza daripada persaudaraan yang diamalkan oleh generasi terdahulu. Jangankan berkorban untuk sahabat, bahkan peringkat persaudaraan yang paling rendah sekalipun kita tidak mampu laksanaknanya. Persaudaraan yang sejati adalah bermula daripada keikhlasan dan kasih sayang yang benar dan semata-mata kerana Allah. Kesilapan yang lalu jadikan sebagai ikhtibar dan mohonlah padaNya, moga persaudaraan yang kita jalinkan ini akan diredhaiNya.


Berbuat baiklah terhadap orang lain sebagaimana kamu suka diperlakukan. Sekiranya kamu menghormati orang lain,orang lain juga akan menghormati kamu. Sedarilah sahabat-sahabat bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai kecacatan dalam tiap pelakuannya dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang terbaik.


Berkata ulama: “Janganlah kamu berkawan melainkan dua orang dari tiga orang iaitu orang yang engkau pelajari daripadanya sesuatu tentang urusan agamamu maka orang itu pun memanfaatkan ilmunya kepadamu”


Allah juga telah berfirman: “sesungguhnya di antara kamu itu bersaudara,maka damaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah itu.Jadi peliharalah hubungan persahabatan itu”.


Salah satu golongan yang dilindungi di bawah Arasy Allah s.w.t di akhirat kelak adalah pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah, iaitu persahabatan yang diredhai Allah yang berdasarkan ketaqwaaan kepada Allah. Persahabatan adalah anugerah Allah yang terindah jika ianya berlandaskan atas dasar yang benar. Sahabat adalah seperti cermin kepada kita,kesalahan kita diteguri,bila alpa diingatkannya,bila berduka dihiburkannya,bila sempit dilapangkannya, kata-kata nasihat yang selalu keluar dari mulutnya menambahkan semangat,menjadikan kita kuat dengan cinta, kasih sayang dan persahabatannya darinya. Dia juga menjadi sumber inspirasi untuk kita terus berdakwah.


Hayatilah persahabatan kerana Allah s.w.t kerana kita akan bertemunya di syurga dan inilah tanda kita betul-betul beriman biar diuji seberat mana kita tetap sayang pada sahabat kita inilah dinamakan ukhwah fillah. Moga hubungan yang terjalin sekarang akan terus berkekalan hingga ke akhirnya...ukhwah fillah Abadan abada.

-mujahidah-

http://ukhtiazhar.wordpress.com/2008/07/01/bagaimana-dikatakan-ukhwah-fillah/