Pages

Saturday, August 6, 2011

Sahur dan Berbuka

Kelebihan Bersahur

Nabi saw. bersabda, "Perbezaan antara puasa oang Islam dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." (HR al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (HR Ibnu Hibban & Baihaqi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." (HR Ahmad)

Berbuka Puasa Dengan Rutab

"Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan minum beberapa teguk air." (HR Tirmidzi)

Rutab adalah buah kurma yang masak dan belum dikeringkan. Tamar adalah buah kurma yang telah dikeringkan.

Sumber: http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/

Kelebihan Puasa Dalam Kesihatan

Hikmah Puasa Dan Qiyam Ramadhan Menurut Perspektif Islam Dan Sains

Oleh:
Dr. Abu Bakar bin Abdul Majid
Mantan Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Kesihatan Awam,
Kementerian Kesihatan Malaysia

Ramadhan merupakan suatu hadiah, anugerah kepada dunia kesihatan kerana ia mampu meningkatkan taraf kesihatan masyarakat. Melalui kajian sains didapati berpuasa, akan menurunkan kadar glukos darah, tekanan darah, khasnya tekanan darah sistolik dan juga lipid darah. Puasa juga turut menurunkan berat badan. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan. Sebaliknya, dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindroma metabolik. Sindroma ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindroma metabolik yang melanda dunia masa kini.

Hikmah puasa pada kesihatan sangat banyak. Di samping manfaat fisiologi badan, ibadah puasa turut menambahkan kesihatan jiwa setelah dikaji dari sudut psikologi. Bacaan al-Quran pula meningkatkan daya ingatan di samping ketenangan jiwa. Solat tarawih pula melalui suatu kajian mendapati akan membakar rata-rata 10 kalori tenaga setiap raka`at, di samping meningkatkan kesihatan tulang, otot, sendi dan lain-lain.

Satu sumbangan besar ibadah puasa Ramadhan kepada manusia adalah dalam membantu mengatasi masalah merokok. Ramai perokok sering kali memikirkan untuk berhenti dari merokok dan sebahagian besar telah pun mencubanya beberapa kali. Kebanyakan mereka sedar yang merokok itu merosakkan kesihatan mereka dan juga menjejaskan kesihatan orang-orang di sekeliling mereka. Melalui kajian-kajian, didapati 70 peratus dari perokok-perokok ternyata telah pun mencuba berhenti merokok dan 40 peratus dari perokok-perokok mencuba berhenti setiap tahun. Kita telah kenal pasti sebab-sebab yang menyukarkan seseorang untuk berjaya berhenti merokok dan di antara punca utama ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, suatu bahan yang terdapat dalam kandungan asap rokok. Perokok mengalami kesukaran berhenti merokok kerana tubuhnya yang telah terbiasa dengan dadah nikotin yang mana ketiadaannya dalam masa dua hingga empat jam akan mula mengalami gejala gian. Walaubagaimanapun, pada bulan Ramadhan al-Mubarak seorang perokok yang kuat sekalipun boleh berhenti merokok mulai dari sahur hinggalah masa berbuka yang melebihi 12 jam. Ini adalah satu perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa setelah dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin. Perkara ini tidak berlaku semasa bulan Ramadhan kerana perokok-perokok boleh berhenti melebihi 12 jam tanpa merokok.

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang memudahkan seseorang untuk berhenti merokok pada bulan Ramadhan. Antara lain adalah suasana harian masyarakat Islam yang berubah pada bulan Ramadhan. Suasana di tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang dan malam berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Kita dapati peluang dan keadaan yang baik untuk berhenti merokok wujud kerana tiada suasana yang mana perokok itu selalu merokok seperti selepas makan pagi, tengah hari bersama-sama dengan kawan sekerja seperti pada hari-hari lain. Adalah diharapkan agar kita dapat membantu lebih satu juta rakyat Malaysia beragama Islam yang merokok untuk berhenti merokok sempena bulan puasa Ramadhan al Mubarak tahun ini.
Diet Ketika Berpuasa

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

`SYURGA makanan’. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?”. Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan.

“Puasa dapat membantu individu untuk mengawal pemakanannya. Ia dapat membantu dalam pengawalan berat badan di samping melatih individu untuk lebih berdisiplin pada makanan. Pemilihan makanan semasa bersahur dan berbuka penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan atau penurunan berat badan. Pengambilan makanan yang manis, berlemak atau bergoreng boleh menyebabkan peningkatan berat badan,” ujar Pakar Diet Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘ Lah.

Untuk bersahur, disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .

Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.

“Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin,” tambahnya.

Menurut Nor Lizawati, pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.

Misalnya untuk berbuka, orang ramai dinasihatkan untuk mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

“Puasa boleh melatih individu lebih berdisiplin pada makanan. Untuk mereka yang cuba mengurangkan berat badan, jangan abaikan keperluan nutrien oleh badan kerana ini boleh menyumbang kepada risiko untuk mendapat masalah kesihatan dan badan akan cepat lesu. Ini akan memberikan kesan kepada aktiviti seharian. Jangan terlalu obses untuk menurunkan berat badan tetapi kesihatan diabaikan. Amalkan diet yang seimbang,” nasihatnya.

Kepentingan,Doa dan Niat puasa di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t... Selamat menjalani ibadah puasa buat muslimin dan muslimat. Sedikit perkongsian dan amalan berkaitan puasa di bulan ramadhan.


Kepentingan Berpuasa

Firman Allah S.W.T: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." - (Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan....".

Lafaz Niat

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala."

Lafaz lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

*Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.


Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

*Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

*Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.


Waktu berniat:
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Doa Buka Puasa
"Ya Allah keranaMu aku berpuasa, dengan Mu aku beriman, dan dengan rezekiMu aku berbuka (puasa), dengan rahmat MU, wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang“
*Dari Mu'adz bin Zuhrah, bahwasannya telah sampai kepadanya, sesungguhnya Nabi s.a.w apabila berbuka puasa baginda mengucapkan, "Allaahumma Laka Shumtu wa'alaa Rizqika Afthartu".
(Hadis riwayat Abu Daud #2358, Al-Albani mengatakan hadis ini Dhaif di dalam Daif Abi Daud)

Ibn Umar berkata, Nabi s.a.w ketika telah berbuka puasa mengucapkan,:
"Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat dan telah tetap pahala, dengan kehendak ALLAH."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud #2357. Al-Daaraquthni #25, Ibn Hajar dalam Al-Talhis Al-Habiir (2/202): Al-Daaraquthni mengatakan bahawa hadis ini Isnadnya Sahih.)

**Disebabkan do'a didalam hadis pertama ini datang dari hadis dhaif (lemah), maka lebih afdal kita mengambil do'a alternatif yang lebih baik isnadnya yang dapat kita manfaatkan didalam amalan sunat membaca do'a ketika berbuka puasa.

Doa Selepas Berbuka Puasa
"Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu."


“Di dalam syurga ada pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa masuk melaluinya pada hari kiamat. Tidak ada orang yang masuk selain daripada mereka yang berpuasa. Apabila masuk orang yang berpuasa, pintu ini ditutup. Tidak dapat masuk orang lain melalui pintu ini.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sunday, June 12, 2011

Menyimpan uban VS mewarna rambut


Bismillah ir-rahman ir-rahim...
Assalamuakum w.b.t...


Rasanya agak terlalu lama ana menyepi...asif pada pembaca setia ana yang menantikan artikal2 dan perkongsian dari ana..ana dilanda seribu mcm ujian dalam menjalani hidup sebagai hambaNYA..memang sukar pabila kita dilanda liku2 dalam meraih cintaNYA...tapi insyaALLAH, penghujungnya pasti indah pada yg sabar dan tabah menghadapinya..moga ALLAH kan slalu bersama-sama kita tanpa jemu walau hakikatnya kita sering melupakanNYA..amiin..


Sedikit perkongsian mengenai hadis yg berkaitan uban untuk renungan kita bersama:

Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, "Janganlah kalian mencabut uban kerana sesungguhnya ia akan menjadi cahaya di Hari Kiamat. Barangsiapa beruban satu uban, nescaya Allah mencatat untuknya satu kebajikan kerana uban itu, menghapus satu dosa kerananya dan mengangkatnya satu darjat kerana uban tersebut." [2096] Sahih. At-Targhib, Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban


Tambahan dari sebuah artikal yg menarik minat ana untuk dikongsikan bersama iaitu mengenai 'HUKUM MEWARNAKAN RAMBUT DAN UBAT'

Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dll, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 5,ms 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jld 27, ms 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jld 1, ms 191 ; Kassyaf al-Qina', Al-Bahuti, jld 1, ms 77)

Mereka semua berdalilkan dengan hadith-hadith riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan shohih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma' az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar.

Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-
1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.
2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
3- Tidak mengakibatkan mudarat terhdp kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau allergi ataupun mudasrat terhdp janin dll akibat bahan kimia pewarna tadi.
4- Memutihkan rambut iaiatu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.

HUKUM MENCELUP UBAN PUTIH KE HITAM

Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :-


1. Makruh
Ia adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi.

Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS.

Dalil mereka :
a) Sabda Nabi SAW : "Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)
b) Berkata Ibn Umar ra : "Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar" (Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami)

c) Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak" (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorg perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai'en dan Imam Ahmad)

d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan.


2. Haram

Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya utk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi.


3. Harus tanpa Makruh

Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin.

Dalil mereka :
a) Sabda Nabi SAW : "Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri2 kamu, dan lebih dpt menakutkan musuh" (Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif)
b) Diriwayatakan bhw sahabat dan tabi'ein ramai juga yang mewarnakan rambut mrk dengan warna hitam. Antara Sa'ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma' az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari)

Suka disebutkan di sini setiap mazhab mempunyai dalil masing-masing yang tidak dpt disebutkan kesemuanya di sini, demi meringkaskan tulisan ini.


Kesimpulan Hukum
Akibat terdapat zahir hadith dan athar yang bertembung antara satu sama lain, maka fuqaha mengambil jalan membuat takwilan bagi menggabungkan hadith-hadith ini. Ia seperti berikut :

a) Hadith larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangn lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

b) Adapun hadith yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab2 yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dll.

Sumber: http://zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/189-hukum-mewarnakan-rambut-a-uban.html


Semoga pengisian kali ini bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH..wallahu'alam...

Saturday, April 23, 2011

Bagaimana Dikatakan Ukhwah Fillah?

Bila kita fikirkan apakah kita sekarang berukhwah kerana Allah? Seindah apa ukhwah yang kita miliki atau yang pernah kita alami? Bagaimana kita menjaga ukhwah itu? Banyak persoalan yang perlu kita muhasabah semula. Begitu juga dengan diri saya sendiri terasa banyak lagi kekurangan dan kelemahan saya dalam saya bersahabat. Kita susah untuk memahami sahabat tapi yang penting kita cuba untuk memahami sahabat, mungkin suatu hari nanti dia akan memahami kita. Kita semua tidak sempurna tapi kita cuba jadi sahabat yang baik, yang mana dapat membimbing sahabat-sahabat kepada kebaikan bukannya keburukan. Dalam kita bersahabat banyak perkara yang Allah s.w.t uji kita, bila kita tabah dalam menghadapi ujian itu bermakna kita berjaya bersahabat kerana Allah s.w.t. Bila kita lihat makna ukhwah itu sendiri yang bermaksud menyatukan hati dan roh yang terikat dengan dengan ikatan akidah yang satu.


Tingkat ukhwah yang paling rendah adalah berlapang dada dengan sahabat-sahabat dan tingkat ukhwah yang paling tinggi adalah ithar. Kenapa kita dengan orang barat berbeza dalam bersahabat? Orang barat bersahabat untuk keperluan dunia sahaja tapi orang islam bersahabat mengharapkan pertemuan hingga ke syurga. Atas dasar kerana Allah s.w.t , ikatan yang paling kuat antara hati dan akal. Ukhwah tidak akan putus walaupun besar mana dugaan yang kita hadapi. Berusaha untuk menyayangi sahabat kita dan korbankanlah sedikit perkara dalam hidup kita, semuanya ada hikmah disebaliknya. Jadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh untuk membina ukhwah yang kuat. Rasulullah s.a.w sendiri dapat membina generasi sahabat yang kuat.


10 kepentingan dalam menghubungkan ukhwah:

  1. Untuk mendapat keredhaan Allah kerana Dia suka pada orang yang menghubungkan ukhwah begitu juga penghuni langit dan bumi.
  2. Kita juga mengembirakan para Malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhwah.
  3. Pahala yang berterusan.
  4. Rezeki yang diberkati Allah
  5. Allah s.w.t melanjutkan usianya.
  6. Dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan seharian.
  7. Iblis dan syaitan bertambah gelisah.
  8. Akan disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada disekelilingnya.
  9. Mengembirakan jenazah yang berada di alam barzah.
  10. Dapat mencetuskan kegembiraan pada kedua belah pihak,tiada amalan yang lebih baik melainkan dapat mengembirakan hati orang-orang beriman.


Syarat-syarat berukhwah:

  • Ikhlas
  • Bersama ukhwah adanya iman dan taqwa
  • Melazimi ajaran Islam (amar makruf nahi mungkar)
  • Nasihat-menasihati ke jalan Allah s.w.t.
  • Tolong-menolong kerana Allah s.w.t.
  • Status dua orang yang berukhwah:
  • Darjat yang tinggi di syurga Allah s.w.t.
  • Mendapat kemuliaan pada hari kebangkitan.
  • Menyayangi seseorang kerana Allah s.w.t bukan sebab lain hanya hadir pada hati yang bersih.Dunia dan segala hiasannya dipandang kecil berbanding keredhaan Allah s.w.t.
  • Kasih sayang yang hebat dan suci sehinggakan Allah s.w.t akan memuliakan hambaNya yang mampu berbuat demikian.
  • Rasulullah s.a.w juga menyarankan agar kita menzahirkan kasih sayang kita kerana ukhwah sangat penting dalam membentuk masyarakat.


Ciri-ciri mereka yang berukhwah kerana Allah s.w.t:

  • Tidak membiarkan atau meninggalkan sahabatnya yang dalam kesusahan.
  • Bersifat toleransi dan memaafkan.
  • Berjumpa dengan wajah yang tersenyum.
  • Bersahabat ikhlas kerana Allah s.w.t.
  • Setia dan berbuat baik pada sahabat.
  • Tidak mengumpat dan tidak menceritakan keburukan sahabat.
  • Mengelakkan perselisihan pendapat,gurauan yang berlebihan dan tidak tepati janji.
  • Bersifat pemurah dan muliakan sahabat.
  • Mendoakan sahabat.


Bagaimana cara untuk kita mencapai roh ukhwah?

1) Memberitahu kepada saudara yang dicintainya- Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu kepadanya”. (H R Abu Daud dan Tirmizi)

2) Berdoa untuk mereka- Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan bagimu juga seperti itu”.

3) Berjabat tangan bila bertemu- Rasulullah s.a.w menyarankan pada umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra: “Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah”.

4) Memberi senyuman ketika bertemu- Hadis riwayat dari Abu Dzhar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah engkau remehkan kebaikan apa sahaja yang datang dari saudaramu dan jika engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan”. (H R Muslim)

5) Mengunjungi saudara- Dalam kitabnya Al-muwathtaa Imam Malik meriwayatkan bersabda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman: “Pasti akan dapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku”.

6) Menyampaikan ucapan selamat- Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah s.w.t mengembirakannya pada hari kiamat”. (H R Tabrani)

7) Memberi hadiah- Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati”.

8) Memperhatikan keperluan sahabat- Riwayat oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Siapa yang meringankan beban penderitaaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam kesusahan pasti Allah s.w.t akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutupi aib seorang muslim pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah s.w.t akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya (H R Muslim)

9) Tegakkan hak-hak persaudaraan: Wajib bagi kita menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarahi saudara yang sakit, mendoakannya ketika bersin dan menolong bagi yang dizalimi.


Perkara tersebut adalah penting untuk menunjukkan rasa cinta kasih kita pada sahabat kita sekaligus untuk mempereratkan ukhwah bila kita laksanakannya betul-betul kerana Allah s.w.t.


Marilah kita renungi sejenak firmanNya:

“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman).Walaupun kau membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi,nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (al-anfal:63)


Kita dapat merasai kekuatan ukhwah itu kerana ikatan akidah Islam itu adalah sekuat-kuat ikatan. Dari sinilah terbitnya ukhwah fillah (persaudaraan kerana Allah) . Keindahan dalam kita berukhwah akan terserlah apabila iman yang kuat tersemat didlm hati.


Menyingkap kembali ukhwah yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w di dalam jiwa para sahabat, maka di sana terpancarlah betapa mulianya hati-hati yang mampu menghayati erti ukhwah kerana Allah. Bukan harta sahaja yang mereka serahkan bahkan nyawa pun sanggup dijadikan cagaran. Tapi hakikatnya kita pada hari ini adalah jauh berbeza daripada persaudaraan yang diamalkan oleh generasi terdahulu. Jangankan berkorban untuk sahabat, bahkan peringkat persaudaraan yang paling rendah sekalipun kita tidak mampu laksanaknanya. Persaudaraan yang sejati adalah bermula daripada keikhlasan dan kasih sayang yang benar dan semata-mata kerana Allah. Kesilapan yang lalu jadikan sebagai ikhtibar dan mohonlah padaNya, moga persaudaraan yang kita jalinkan ini akan diredhaiNya.


Berbuat baiklah terhadap orang lain sebagaimana kamu suka diperlakukan. Sekiranya kamu menghormati orang lain,orang lain juga akan menghormati kamu. Sedarilah sahabat-sahabat bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai kecacatan dalam tiap pelakuannya dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang terbaik.


Berkata ulama: “Janganlah kamu berkawan melainkan dua orang dari tiga orang iaitu orang yang engkau pelajari daripadanya sesuatu tentang urusan agamamu maka orang itu pun memanfaatkan ilmunya kepadamu”


Allah juga telah berfirman: “sesungguhnya di antara kamu itu bersaudara,maka damaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah itu.Jadi peliharalah hubungan persahabatan itu”.


Salah satu golongan yang dilindungi di bawah Arasy Allah s.w.t di akhirat kelak adalah pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah, iaitu persahabatan yang diredhai Allah yang berdasarkan ketaqwaaan kepada Allah. Persahabatan adalah anugerah Allah yang terindah jika ianya berlandaskan atas dasar yang benar. Sahabat adalah seperti cermin kepada kita,kesalahan kita diteguri,bila alpa diingatkannya,bila berduka dihiburkannya,bila sempit dilapangkannya, kata-kata nasihat yang selalu keluar dari mulutnya menambahkan semangat,menjadikan kita kuat dengan cinta, kasih sayang dan persahabatannya darinya. Dia juga menjadi sumber inspirasi untuk kita terus berdakwah.


Hayatilah persahabatan kerana Allah s.w.t kerana kita akan bertemunya di syurga dan inilah tanda kita betul-betul beriman biar diuji seberat mana kita tetap sayang pada sahabat kita inilah dinamakan ukhwah fillah. Moga hubungan yang terjalin sekarang akan terus berkekalan hingga ke akhirnya...ukhwah fillah Abadan abada.

-mujahidah-

http://ukhtiazhar.wordpress.com/2008/07/01/bagaimana-dikatakan-ukhwah-fillah/


Monday, March 28, 2011

Wanita Haid & Al-Quran

Wanita haid memegang dan membaca al-quran


::Hukum wanita haid memegang dan membaca al-Quran::

Para muslimah seringkali keliru tentang hukum memegang dan membaca al-Quran ketika didatangi haid. Menurut seorang penulis daripada artikelnya bertajuk 'Amalan Wanita yang didatangi Haid dalam bulan Ramadhan', beliau memberikan beberapa dalil dan ayat-ayat al-Quran yang membincangkan tentang isu ini.... Berikut adalah artikel yang ditulis oleh beliau, dan semoga kita mendapat manfaat darinya InsyaAllah.

*Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.

Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:"Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. " [al-Waqiah 56:79]


Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci."


Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan: "Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam." [al-Waqiah 56:77-80]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.

Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik: "Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis." [al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.

Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.


*Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid."

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H): Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub. Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:-

1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.


Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda: "Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis."

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.

Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.


Kesimpulan:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: "Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa." [al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.

Sumber: kenalan facebook

Wednesday, March 23, 2011

Dalam Hati - Kata Nasihat Ibnu Qayyim

KATA-KATA NASIHAT IBNU QAYYIM

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.

Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah swt

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt

Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya

Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.

Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya

Ujian Dan Doa

Assalamualaikum w.b.t...

Setiap hari kita akan diuji...sejauh mana kemampuan kita mengharui setiap ujian dariNYA..kadang-kadang pelbagai persoalan kan terbit dari hati kita tatkala kita diuji...sedikit perkongsian yg ingin ana kongsikan bersama 'persoalan yg sering bermain difikiran kita tatkala diuji dan qur'an menjawabnya'...

KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan,"Kami telah beriman."("I am full of faith to Allah")sedangkan mereka tidak diuji?Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya
Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."-Surah Al-Baqarah ayat 216

KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya,"
-Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA: KENAPA RASA FRUST?

QURAN MENJAWAB
"Jgnlah kamu bersikap lemah. dan jgnlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
-Surah Al-Imran ayat 139

KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan de
ngan jalan sabar dan mengerjakan sembhyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
-Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min
,diri,harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... ?"
-Surah At-Taubat ayat 111

KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB
"Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
-Surah At-Taubat ayat 129

KITA BERKATA: AKU TAK DAPAT TAHAN!!!!!!

QURAN MENJAWAB
"......dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
-Surah Yusuf ayat 12

Kadang-kadang, kita selalu berdoa untuk dapatkan apa yg kita impikan dan harapan tetapi seringkali doa kita tidak termakbul..kenapa ya??? Ana kongsikan doa-doa yg makbul dan kenapa doa tidak termakbul agar kita kan lebih memahami,sesungguhnya ALLAH memberikan apa yg kita perlukan bukan apa yg kita harapkan.
DOA-DOA YANG MAKBUL:

1. Orang yang terdesak.
2. Orang yang teraniaya/dizalimi.
3. Anak yang berbuat baik terhadap kedua ibubapanya.
4. Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim & tidak memutuskan silaturrahim.

Tanda-tanda Doa Yang Makbul:

1. Terasa sesuatu yang menakutkan.
2. Menangis tatkala berdoa.
3. Terasa menggeletar.

Cara-cara Berdoa:

1. Bersungguh-sungguh semasa berdoa. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bersungguh-sungguh semasa ia berdoa"

2. Menghadirkan diri kpd Allah dengan penuh kekhusyukkan kerana Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai.

3. Hendaklah makanan, minuman, pakaian dan sebagainya dari harta yang halal kerana sesungguhnya Allah itu baik & menerima melainkan yang baik belaka.

4. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, khianat, memutuskan silaturrahim & jangan sesekali memohon SEGERA dimakbulkan doa tersebut.

5. Digalakkan memperbanyakkan menyebut Asmaul Husna, dimulai dengan bertaubat, istighfar, hamdalah serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w & para sahabat.

6. Sebelum berdoa, bersedekahlah terlebih dahulu (al-fatihah dan sebagainya).


PENGHALANG DOA

DOA merupakan senjata bagi orang Islam. Ini sebenarnya adalah hadiah Allah untuk kita. Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Pemurah. Ada kalanya kita rasa kita telah berkali-kali berdoa tapi Allah belum memperkenankannya. Selain itu adalah ujian dari Allah ingin menguji keikhlasan dan keimanan kita,kita juga perlu mengkaji di mana silapnya kita. Sebenarnya banyak perkara yang boleh menjadi hijab atau penghalang kepada doa-doa kita itu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar yang pernah kita lakukan dan salah satu cara untuk mengatasinya dengan bertaubat nasuha yakni taubat yang sungguh-sungguh.

Di sini dibentangkan lapan belas perkara yang menjadi hijab atau penghalang doa:

1. Orang yang membunuh orang lain tanpa tujuan.

2. Orang yang menaburkan cerita yang belum tentu sahih

3. Orang yang melakukan pekerjaan yang serupa binatang.

4. Orang yang mengekalkan minum arak atau benda-benda lain yang boleh memabukkan. ALLAH telah berfirman: Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu dan menghalangi kamu dari mengingati ALLAH dan sembahyang, maka berhentilah kamu dari mengerjakan pekerjaan itu. AI Maidah: 91. Keterangan di atas sesuai dengan Hadis Rasulullah SA W yang bermaksud Semua minuman yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram. Riwayat Muslim

5. Orang yang mengekalkan zina, iaitu dosa besar yang tidak akan diampunkan selama-lamanya.

6. Orang yang menderhakai ibubapanya atau salah seorang daripadanya. ALLAH telah berfirman; Dan Tuhanmu telah mnnerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dari-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika seseorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah tua jangan kamu keluarkan perkataan kasar terhadap keduanya dan hendaklah kamu ucapkan perkataan yang mulia (lemah-lembut).Rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepadanya dan hendaklah engkau katakan Wahai Tuhan kasihilah kedua ibubapa kami dan berilah Rahmat-Mu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar.....Untuk mengatasinya bertaubatlah dengan taubat nasuha; taubat yang sungguh-sungguh kepada keduanya, sebagaimana mereka mendidik kami di waktu kecil.
Al Israk: 23-24

7. Orang yang mengerjakan suatu pekerjaan yang menyalahi syariat seperti bermain silap mata.

8. Ahli nujum yang mengkhabarkan nasib orang lain sedangkan kehidupan kita dari alam roh hingga ke akhir hayat telahpun ALLAH tetapkan sejak azali lagi.

9. Orang yang hasad dengki sesama umat Islam. Dia suka orang lain ALLAH timpakan bala malah mencemburui seandainya orang lain yang dikurniakan nikmat Tuhan.

10. Orang yang suka mengadu domba, memukul canang kepada orang lainsupaya timbul pecah-belah antara kedua belah pihak. Kadangkala mengakibatkan kedua-dua pihak itu tidak bertegur sapa selama lebih dari tiga hari tanpa keuzuran syarie.

11. Orang yang suka mengumpat hal orang lain terutama terhadap orang-orang alim yang cinta dengan ALLAH

12. Orang yang mengambil cukai dari harta manusia tanpa redha mereka. Inilah perkara yang paling ditakutikerana ketika di dalamkubur lagi akan ditimpakan azab yang pedih.

13. Orang yang menjual barang dengan cara yang haram, mengangkat jual beli dengan sumpah yang dusta, contohnya menaikkan harga barang-barang dua tiga kali gandanya dari harga asal. Menipu dalam sukatan dan timbangan dan memakan harta riba.

14. Orang yang membenci para sahabat Rasulullah SAW.

15. Orang yang menunjuk-nunjuk diri dengan gayanya yang lemah-longlai seperti mayang di depan orang lain supaya mereka merasa kagum dengan kecantikkannya.

16. Orang yang bermain catur dan judi.

17. Orang yang bermain gendang yang kecil di tengahnya, luas di kedua tepinya tetapi tepi yang ada kulit itu lebih luas daripada yang tiada berkulit. Kalau di zaman sekarang ini kompang dan gendang yang dibubuh lingkaran rotan di dalamnya supaya terdengar bunyi gentanya yang mengasyikkan.

18. Orang yang bermain rebab, biola dan seruling (serunai). Oleh itu sebagai nasihat kepada kita bersama, jika kedapatan perkara-perkara yang dibentangkan itu pada diri kita, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Agar kita mendapat falah (kemenangan) di Akhirat sebelum datangnya maut. Tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh melalaikan kita dari mengingati ALLAH juga perkara-perkara yang menjauhkan diri kita dari-Nya. Semuga ALLAH SWT menggantikan dengan sebesar-besar kurnia dan RahmatNya sebagai penutup segala perbuatan jahat yang lampau. Allah telah berfirman; Sesungguhnya segala amal yang baik menghapuskan akan segala perbuatan yang jahat.

*Janganlah kita putus asa akan ujianNYA dan janganlah kita berhenti berdoa kerna doa adalah senjata utama org mukmim. Yakinlah ALLAH tidak pernah menghampakan hambaNYA tetapi hambaNYA lah yg selalu menghampakan tuhannya..ALLAH berikan apa yg terbaik buat kita bukan apa yg kita rasa baik buat kita!!!